Thursday 2 May 2013

PRS ku sayang :)

Menjadi Kaunselor di sebuah sekolah menengah harian di Seremban, ada kalanya menuntut kesabaran yang tinggi. Hampir 4 tahun di sekolah itu, pelbagai kenangan terpahat di ingatan. Bukan tidak seronok menjalankan tugas di sekolah itu, tetapi cabaran yang dihadapi membuatkan saya terfikir, adakah kerjaya ini untuk saya sehingga pencen? Mungkin kerana pengalaman berkhidmat di sebuah sekolah berasrama penuh sebelum itu, membuatkan saya meletakkan harapan yang tinggi terhadap pelajar di sekolah tempat saya berkhidmat sekarang.

Saya percaya bahawa di sebalik kejayaan sebuah unit kecil di sekolah iaitu Unit Bimbingan dan Kaunseling, adalah kerana sistem pengurusan Pembimbing Rakan Sebaya (PRS) yang mantap. Kumpulan PRS ini yang juga dikenali sebagai 'Kaunselor Muda' memainkan peranan tersendiri dalam membantu mempromosikan perkhidmatan Bimbingan dan Kaunseling di sesebuah sekolah. Justeru, saya cukup berhati-hati dalam proses pemilihan pelajar yang berminat untuk menjadi PRS. 

Walaupun proses pemilihan telah dilakukan dengan baik, tetapi ada juga PRS yang tidak mencapai tahap seperti yang saya kehendaki. Selain perlu menjalankan sesi bimbingan dengan rakan sebaya dan berekod, PRS juga hendaklah membantu Kaunselor dalam penyediaan bahan dan peralatan untuk sesuatu program atau bahan-bahan rujukan di Bilik Bimbingan dan Kaunseling. Ini termasuklah bahan paparan di papan kenyataan Unit Bimbingan dan Kaunseling. 

Pada suatu hari, guru-guru dimaklumkan bahawa sekolah kami akan dikunjungi oleh seorang individu yang berautoriti. Maka, papan kenyataan di sekolah hendaklah diisi dengan bahan-bahan terkini yang bersesuaian. Saya mula terfikir adakah saya mampu untuk mengisi papan kenyataan Unit Bimbingan dan Kaunseling ini dengan kesibukan tugas saya yang lain? Oleh kerana kesibukan tugas itulah, saya meminta PRS saya untuk menyediakan bahan-bahannya. Timbul pula persoalan, siapakah yang sesuai untuk diberi tanggungjawab itu?

Mesyuarat PRS pun dilaksanakan bagi membincangkan perkara ini. Saya bertanyakan siapakah di antara mereka yang sukarela ingin membantu dalam menaikkan imej Unit Bimbingan dan Kaunseling? Mujur ada beberapa PRS lelaki yang mengangkat tangan dan saya katakan kepada mereka, "Wah! Mama kagum dengan sikap kesukarelaan yang ditunjukkan. Terima kasih ... (sambil menyebut nama PRS yang mengangkat tangan)". Kumpulan sukarela itu saya namakannya sebagai 'Think Tank Team'. Setelah berbincang beberapa perkara tentang bahan yang perlu dipaparkan di papan kenyataan, mesyuarat PRS pada hari itu akhirnya selesai.

Hari silih berganti, saya menanti dengan penuh debaran. Adakah bahan untuk papan kenyataan Unit Bimbingan dan Kaunseling sempat disediakan? Ada lebih kurang 4 papan kenyataan untuk dipenuhi. 

Suatu hari saya pulang awal ke rumah kerana ada urusan penting yang harus dilaksanakan. Sempat juga memandang ke arah papan kenyataan yang masih kosong. Dalam hati, saya berkata-kata sendiri, jika papan kenyataan ini masih lagi kosong esok, nampaknya saya dan rakan kaunselor seorang lagi yang akan lakukannya sendiri.

Keesokan harinya, saya datang ke sekolah seperti biasa. Alangkah gembiranya hati saya apabila melihat papan kenyataan telah dihias cantik dan diisi dengan bahan berkaitan. Hati saya berbunga-bunga melihat papan kenyataan tersebut. Saya tertanya-tanya di dalam hati, bila agaknya mereka menghiasnya? Mungkinkah petang semalam? Sememangnya saya agak teruja kerana saya tahu PRS saya agak keberatan jika diminta untuk pulang lewat petang. Walaupun bahan pada papan kenyataan itu tidak begitu penuh, saya dan rakan kaunselor mengambil inisiatif untuk membantu mereka menyiapkannya. Mereka juga manusia biasa yang tidak sempurna, apatah lagi masih bergelar pelajar. 

Pada waktu rehat, PRS tersebut datang ke Bilik Kaunseling bersama rakan-rakan yang turut membantu, dengan segera saya memberikan pujian kepada mereka, "Tahniah kerana berjaya menyiapkannya! Terima kasih....(sambil menyebut nama-nama PRS yang menghias papan kenyataan.) Hasil kerja awak semua sungguh cantik! Mama suka sangat."

Secara kebetulan, petang itu mesyuarat PRS diadakan lagi. Saya memuji hasil kerja mereka di hadapan PRS yang lain pula. "Tahniah kepada 'Think Tank Team'. Mama kagum dengan hasil kerja mereka. Tahu-tahu saja papan kenyataan tersebut sudah siap dihias tanpa perlu banyak bergantung dengan Mama. Inilah yang Mama suka!" PRS lain memberikan tepukan, sementara ahli 'Think Tank Team' tersenyum penuh makna. 

Saya percaya 'Think Tank Team' ini akan menjadi satu kumpulan yang dikagumi oleh PRS lain. Insyaallah... :)

Tuesday 30 April 2013

Training Eksklusif Mendorong Pelajar Kelas Corot Mengikut Teknik Nabi Muhammad SAW

Ketika semua para pekerja di Malaysia sedang bercuti, saya telah berkesempatan untuk menghadiri satu kursus seperti yang tersebut di atas di SMK Putra Perdana, Puchong Selangor.